Friday, March 9, 2007

Abstrak Kajian

Masalah Buli Di Sekolah
Mohd. Aris bin Anis Mohd. Noor bin Abd. Rashid

Kejadian buli di sekolah dewasa ini kian menjadi-jadi . Pelbagai kes dilaporkan di dada-dada akhbar dan keadaan ini amat membimbangkan bukan sahaja pihak individu, malah ibu bapa, sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan seterusnya Kementerian Pelajaran. Oleh yang demikian, masalah ini perlu dibanteras segera agar tidak menjadi barah yang mengancam keselamatan dan keharmonian sesebuah sekolah. Kertas kerja ini ditulis untuk menjelaskan beberapaaspek berkaitan dengan masalah buli di sekolah. Aspek-aspek yang akan diberi penekanan ialah definisi buli, jenis-jenis buli, mengenali ciri-ciri pembuli, mengenali ciri-ciri mangsa buli, statistik kes buli, faktor-faktor yang mendorong berlakunya kes buli, beberapa peringkat menangani masalah buli dan tatacara membuat aduan berkaitan kes buli disekolah

Abstrak Kajian Tentang Buli

Gejala Buli
Azneezal Ar-Rashid Bin Mohd RamliNora Binti MislanSiti Mislia Binti Selamat

Gejala perlakuan ganas di kalangan pelajar yang semakin hangat dibicarakan di dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini menunjukkan betapa ianya perlu tindakan segera oleh pihak-pihak tertentu agar ianya tidak terus menular. Perlakuan buli merupakan sejenis perlakuan salah laku yang boleh meninggalkan kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi dan kemajuan akademik pelajar yang dibuli. Kertas kerja ini selain membincangkan tentang jenis-jenis perlakuan buli, juga akan mengutarakan aspek-aspek penting yang mempengaruhi dan yang berkaitan dengan tingkah laku buli ini. Buli dikatakan sering berlaku di dalam bilik darjah, di padang, di koridor, di dalam dewan, di kantin dan juga di dalam tandas. Terdapat banyak punca yang menyumbang kepada perlakuan yang tidak sihat ini umpamanya pengaruh persekitaran dan rakan-rakan. Langkah-langkah pencegahan turut diketengahkan yang dirasakan sesuai dilakukan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam membendung keadaan ini. Persekitaran sekolah yang selesa dan selamat amat diperlukan dapat menjana proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna bagi pelajar.

Thursday, March 8, 2007

Profesor Madya Dr. Zuria Mahmud


Kajian - Prof.Madya Dr. Zuria Mahmud

Bunuh diri : pelajar terpinggir dan terasing13/07/2004 12:50 p.m.
Oleh Rohana Man
DR. ZURIA MAHMUD
KES bunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini memanglah tidak serius kerana jumlah yang melakukannya amat sedikit.
Sungguhpun begitu, pelbagai pihak perlu mengambil usaha untuk menyelamatkan pelajar bermasalah daripada membunuh diri.
Kajian yang dilakukan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Zuria Mahmud mendapati hanya beberapa kes pelajar bunuh diri dilaporkan berlaku di tiga tempat yang dikajinya iaitu Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.
Terdapat pelajar yang membunuh diri dilihat tidak mempunyai masalah dan apabila ia berlaku, semua pihak termasuk ibu bapa dan pihak sekolah tidak menyangka perkara itu boleh berlaku.
``Ada kaunselor sekolah berkata kepada saya bahawa dia tidak menyangka seorang pelajarnya membunuh diri.
``Ayat terakhir yang ditinggalkan oleh pelajar ini ialah `semua orang tidak memahami saya','' katanya
ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kajian Strategi Dalam Menangani Tingkah Laku Bermasalah Pelajar di Sekolah Menengah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru ini.
Pensyarah lain yang turut menjalankan kajian yang sama ialah Profesor Datin Dr. Amla Mohd Salleh dan Dr. Noriah Mohd Ishak. Kajian yang dibentangkan itu dibiayai oleh skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) dan melibatkan temu bual dengan 33 kaunselor dari Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.
Data yang diperoleh kemudian diproses secara kualitatif dan kajian yang bermula pada bulan September 2003 itu masih diteruskan sehingga hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian yang dilakukannya mendapati pelajar bermasalah yang cenderung membunuh diri terdiri daripada mereka yang mempunyai tingkah laku terpinggir.
Menurutnya, tingkah laku itu menyebabkan pelajar berasa terasing kerana tidak mempunyai kumpulan sendiri di sekolah.
Katanya, pelajar terlibat akan berasa dirinya tidak diterima di sekolah sekali gus menyebabkannya tidak mempunyai rakan.
Tambahnya, tingkah laku pelajar terpinggir akan menjadi lebih buruk apabila berasa diri mereka juga tidak dipedulikan oleh keluarga.
Pelajar yang berasa terpinggir di sekolah pula biasanya akan menjadi mangsa buli di sekolah atau asrama.
Ini berlaku kerana pelajar berkenaan dilihat bersendirian tanpa mempunyai kumpulan sendiri.
``Pelajar berkenaan sebenarnya tidak mampu `membina' kumpulannya sendiri dan akhirnya akan menjadi mangsa buli.
``Ini antara punca pelajar berasa terpinggir dan kesan buruknya ialah ia boleh mengakibatkan pelajar membunuh diri,'' katanya.
Selain itu, katanya, kajian beliau juga mendapati pergaulan dan seks bebas pelajar bukan sahaja berlaku di antara pelajar perempuan dan lelaki, sebaliknya melibatkan pelajar lelaki dan lelaki (homoseksual) serta perempuan dan perempuan (lesbian).
Hasil kajian beliau mendapati ibu bapa gagal mengesan perubahan tingkah laku anak-anak di peringkat awal.
``Hanya apabila anak gadis hamil atau anak perempuan memilih untuk menjadi berlagak seperti lelaki atau sebaliknya, barulah ibu bapa sedar masalah yang dihadapi oleh anak masing-masing,'' katanya.
Beliau menjelaskan, masalah kecelaruan gender dalam kalangan pelajar sukar dikesan pada peringkat awal kerana ibu bapa tidak mengesyaki apa-apa jika melihat anak lelaki atau perempuan mereka tidur sebilik dengan rakan sama jantina.
Kajian beliau turut menyentuh perkara berkaitan masalah dadah, rokok, laku musnah, menonton video dan melihat gambar lucah serta kurang motivasi dalam kalangan pelajar.
Mengulas pelajar kurang motivasi, beliau berkata, pelajar menjadi begitu kerana tidak meminati bidang ilmu atau akademik.
Pelajar itu katanya perlu dibantu dengan menggalakkannya mengambil bidang yang diminati seperti dalam bidang teknikal, sukan atau muzik.
Mengenai faktor penyumbang masalah itu, Dr. Zuria berkata, antara yang paling jelas ialah masalah keluarga yang tidak stabil dan pengaruh rakan sebaya terutama jika rakan sebaya itu sudah berhenti sekolah.
Justeru apakah penyelesaian masalah itu? Menurutnya, antara strategi yang boleh dilakukan ialah
mendekati pelajar tanpa mengira waktu sama ada ketika di kelas, waktu rehat atau pelajar berada di rumah.
Menerusi pendekatan itu, katanya, pelajar bermasalah akan berasa diri mereka dihargai, disayangi dan diperlukan sekali gus mengurangkan kecenderungan mereka untuk terus terlibat dalam masalah sosial.
``Sebenarnya, pelajar bermasalah memerlukan sokongan semua pihak dan berilah peluang kepada mereka untuk bercerita dan meluahkan apa yang terbuku di hati,'' katanya.
Kajian beliau mendapati pelajar lebih suka bercerita mengenai masalah masing-masing kepada kaunselor berbanding ibu bapa.
Ini kerana katanya, ibu bapa kerap memotong cakap anak-anak yang baru mahu berkongsi cerita (masalah) dengan ibu bapa.
``Baru nak cerita, dah kena marah. Ini yang pelajar tidak suka. Sepatutnya ibu bapa sedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak,'' ujarnya.
Mengenai usaha kolaborasi dalam menangani masalah sosial pelajar, Dr. Zuria berkata, kaunselor perlu mempunyai hubungan baik dan kerjasama dengan guru, pentadbir sekolah, persatuan ibu bapa dan guru, polis, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak hospital.
Pemantauan berterusan boleh dilakukan oleh semua pihak berkenaan termasuk melaporkan segera kes-kes pelajar bermasalah kepada pihak berkaitan.
``Ketua-ketua agama juga perlu memainkan peranan untuk membawa kembali pelajar bermasalah ke pangkal jalan menerusi pendekatan agama masing-masing,'' katanya.

Isu - Isu Semasa

Empat jawatankuasa tangani gejala disiplin sekolah
EMPAT jawatankuasa bertindak di bawah Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid (JIMGDM) terus menggiatkan usaha menangani disiplin pelajar - walau kadar kesalahan jenayah dan salah laku semakin menurun tahun ini.
Keempat-empat jawatankuasa bertindak tersebut telah menerima dan mengkaji lebih 250 cadangan awam dan seterusnya merencanakan program jangka pendek sederhana dan panjang.
Melalui empat jawatankuasa ini, sejumlah RM6.1 juta telah dipohon untuk melaksanakan program dan aktiviti berkaitan hal itu.
Hal ini termasuklah perancangan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan sejumlah 132 program kokurikulum serta pembangunan sahsiah murid peringkat kebangsaan pada sepanjang tahun.
Program tersebut melibatkan aktiviti kokurikulum, disiplin murid, pendidikan pencegahan dadah, kebajikan dan kesihatan, bahasa, kebudayaan dan kesenian, kelab dan persatuan, penggalakkan sains dan teknologi, lawatan dan pertukaran murid, pendidikan luar dan badan beruniform.
Menurut Memorandum Kabinet Menangani Gejala Disiplin Di Sekolah yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 26 April lalu, usaha mempergiatkan aktiviti Rakan Cop di sekolah juga dilaksanakan dengan kerjasama polis.
``Pihak polis bersetuju membantu dan pegawai aduan di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran telah dihantar meninjau operasi Rakan Cop ini,'' katanya.
Menurut memorandum itu, kerjasama antara polis dan kementerian juga diperhebatkan melalui mekanisme Pegawai Perhubungan Sekolah, Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah (KPJS).
Untuk memerangi gejala ponteng sekolah, kementerian dan polis bersetuju supaya masalah ponteng sekolah diangkat kepada jemaah menteri kerana aspek undang juga perlu dilihat, dan ada kaitan dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada peringkat yang lebih luas, JIMGDM bersetuju supaya diwujudkan majlis permuafakatan antara Kementerian Pelajaran dan pihak polis di semua peringkat kementerian, negeri, daerah dan sekolah.
Ketua Pengarah pelajaran dan Ketua Polis Negara akan mempengerusikan majlis ini di peringkat kementerian.
___________________________________
Empat jawatankuasa bertindak:
1. Jawatankuasa Bertindak menangani isu-Isu Sekolah (ada gambar Datuk Noh Omar).
Tindakan:
a. Melihat kepada aspek - kurikulum, kokurikulum, personel dan pengurusan sekolah.
b. Memantau secara dekat isu berkaitan disiplin murid di bawah program Flying Squad.
c. Mengendalikan perbincangan dengan pengetua, guru besar serta pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri.
.
2. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Masyarakat
(ada gambar Noh Omar)
a. Melibatkan tiga aspek yang berkaitan dengan ibu bapa dan PIBG, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi, wakil rakyat dan pengurusan sekolah.
b. Kempen melalui media cetak dan elektronik.
c. Program kemahiran keibubapaan.
d. Membincangkan sumbangan tenaga serta kepakaran daripada agensi kerajaan lain.
.
3. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Perundangan dan Penguatkuasaan (ada gambar Datuk Hon Choon Kim).
a. Pemantapan peruntukan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang dalam kawasan sekolah. Satu draf dinamakan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 telah digubal dan telah diangkat ke Pejabat Peguam Negara untuk tujuan pewartaan.
b. Pemantapan peruntukan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang diluar kawasan sekolah. Cadangan pindaan undang-undang kepada Peguam Negara terhadap undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berhubung dengan pengeluaran lesen dan pengenaan syarat-syarat ke atas kafe siber, Akta Polis 1967 Akta 334) dan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
4. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan psikologi dan Kesihatan (Ada gambar Komala Devi).
a. Melibatkan tiga aspek iaitu psikologi, kesihatan dan pengurusan sekolah.
b. Mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang telah memulakan kajian berkaitan disiplin dan ponteng sekolah.
c. Menggerakkan kempen anti buli di sekolah serta pelaksanaan program bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi pemantapan sahsiah diri murid termasuk psikologi dan kesihatan.

Langkah Menangani Buli

Empat langkah halang perbuatan buli
Oleh Noran Fauziah Yaakub
Dari semasa ke semasa, terdapat kes buli fizikal ekstrem yang berlaku di kalangan pelajar sekolah yang mendapat perhatian media.Kes ekstrem ini menyebabkan percubaan membunuh diri, kecederaan parah dan juga kematian.
Contoh-contoh buli fizikal ialah menolak, menampar, memukul atau memeras ugut. Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan, ia bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan.
Dalam kajian yang pernah penulis lakukan ke atas 2,600 orang pelajar dari 26 sekolah menengah dari dua buah negeri, didapati mereka yang melaporkan terlibat dengan kegiatan membuli (fizikal dan psikologi) adalah tinggi.
Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu pelopor dalam kajian buli di dunia, sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10-15 peratus ia dianggap serius.
Terdapat pelbagai sebab kenapa pelajar membuli. Sebahagian besar daripada pembuli mengatakan mereka membuli pelajar lain kerana seronok-seronok.
Malah ada pembuli yang bangga menyatakan dia ketua buli di sekolahnya!
Ada pembuli menyatakan mangsa memang patut dibuli dan yang lain pula menyatakan mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan. Sebab mereka membuli ialah kerana marah atau benci kepada mangsa.
Pelajar baru di sekolah adalah individu yang selalu menjadi mangsa buli. Pelajar yang disayangi guru tidak akan digemari rakan.
Bagi kes buli fizikal, mereka yang berbadan kecil menjadi mangsa. Tidak mahu berkongsi alat tulis atau memberi idea untuk membuat kerja rumah turut menjadi sebab membuli.
Bagi pelajar asrama pula, bentuk buli juga berlaku dengan meminta mangsa membasuh baju mereka, mencuci tandas atau mengambil makanan dari kantin. Mereka yang lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris turut tidak disenangi.
Berlainan
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah mereka yang menjadi mangsa ialah pelajar yang tidak disukai kerana mereka berlainan daripada pelajar majoriti.
Apabila ditanya kepada pihak sekolah seperti guru kaunseling, guru disiplin atau pengetua, pelajar yang menjadi pembuli tidak berminat dengan pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.
Dari segi latar belakang keluarga, pembuli dikatakan datang dari keluarga yang bermasalah, tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa atau terlalu dimanja. Pihak sekolah juga menyedari pelajar baru turut menjadi sasaran.
Untuk menangani masalah buli, sekolah perlu mengakui bahawa masalah ini wujud dan ia menyakitkan pelajar. Mangsa tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka tahu cerita mereka tidak akan dipercayai dan mereka tidak dijamin perlindungan.
Terdapat empat peringkat untuk menangani masalah buli.
Peringkat pertama ialah tahap sekolah, kedua tahap kelas dan ketiga tahap individu.
Bagi peringkat sekolah, langkah pertama ialah sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli.
Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapat respons yang lebih tinggi tentang perkara ini, identiti pelajar hendaklah rahsia.
Kedua, sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli.
Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa.
Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, beberapa petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli dan talian telefon atau alamat e-mel untuk melaporkan insiden buli.
Mereka yang boleh membuat laporan bukan sahaja mangsa tetapi juga saksi.
Ketiga, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu dibentuk.
Antara ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.
Keempat, perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat PIBG.
Bagi peringkat kelas pula, satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan apa pula hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya.
Setiap pelajar diberikan senarai peraturan tersebut dan mereka hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah.
Dari semasa ke semasa, guru hendaklah membincang tentang isu buli dengan pelajar.
Bagi peringkat individu, ia melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.
Seterusnya, guru kaunseling boleh mengadakan sesi main peranan tingkah laku empatik atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan asertif pula perlu diadakan dengan mangsa.
Sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan dengan serius tentang masalah buli dan cuba melaksanakan bagaimana hendak mengatasinya atau menghalangnya daripada berlaku.
Kita tidak perlu menunggu kes ekstrem yang lain untuk berlaku sebelum kita berbuat sesuatu untuk memastikan kawasan sekolah selamat (psikologi dan fizikal) untuk anak-anak kita.
- Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub ialah Presiden Persatuan Psikologi Malaysia.

Berita Buli 3

Kena buli : Mangsa tidak tahu mengapa 17/02/2004 12:35 p.m.
Oleh Marzita Abdullah
NORAN FAUZIAH YAAKUB

KAJIAN buli di sekolah rendah oleh Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub mendapati ada mangsa buli sebenarnya tidak tahu mengapa mereka dibuli.
Seorang mangsa buli iaitu murid perempuan pernah ditolak murid lain sehingga jatuh bukit dan berubah perangai menjadi seorang yang penakut dan murung kerana sering dibuli dan tidak tahu mengapa dibuli.
Namun daripada pemerhatian yang dibuat semasa kajian tersebut Noran mendapati, mangsa berkenaan dilakukan sedemikian kerana keadaan fizikalnya yang gemuk dan kulitnya yang gelap.
``Disebabkan dia gemuk dan sering berjalan lambatlah maka murid lain menolak dan mengejeknya,'' katanya.
Tegas Noran walaupun kejadian buli dianggap oleh pihak sekolah suatu perkara biasa atau sekadar `gurauan' di kalangan murid namun perkara tersebut sebenarnya mampu mendorong kepada perbuatan yang serius jika tidak dibendung.
``Ibu bapa dan guru seringkali tidak menjangka teruknya kesan buli dan memandang remeh perbuatan tersebut,'' katanya.
Katanya, kesan-kesan buli membawa kepada sikap negatif dari segi jangka panjang malah di luar negara kesan buli boleh menyebabkan kejadian bunuh diri.
Di luar negara seorang murid membunuh diri kerana diejek gemuk dan berambut kerinting malah ada yang membunuh rakannya kerana tidak tahan dibuli setelah guru dan pihak sekolah gagal mengambil tindakan intervensi.
Mangsa buli akan menjadi seorang dewasa terlalu emosional sehingga menjejaskan hubungannya dengan orang lain dan keluarga.
Malah kajian menunjukkan ada murid yang menjadi pembuli akan bertindak agresif apabila dewasa menjadi seorang pendera terhadap isteri, perogol dan perompak.
Terdapat dua kategori buli iaitu buli fizikal antara lain melibatkan perbuatan memukul, menendang, menarik rambut, menolak mencubit manakala buli psikologi melibatkan kata-kata (verbal) seperti mengejek, menggelar murid dengan nama yang tidak baik dan sebagainya.
Di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Norway, England, Australia dan Jepun kajian tentang buli di peringkat sekolah rendah mendapati ia banyak melibatkan buli verbal manakala tingkah laku buli di Itali banyak melibatkan buli fizikal dan peras ugut.
``Bagaimanapun di Jepun buli verbal banyak melibatkan kejadian bunuh diri dikenali sebagai `ijime' iaitu murid dibuli kerana tidak mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang sehingga menyebabkan mereka membunuh diri,'' katanya.
Di luar negara seperti Norway dan Australia kejadian buli berlaku semasa waktu rehat atau di padang permainan iaitu semasa ketiadaan guru.
``Tetapi di negara kita kejadian buli berlaku di dalam kelas semasa guru mengajar dan sebelum guru masuk mengajar,'' katanya.
Kejadian buli di kantin dan padang sekolah di negara ini hanya mencatatkan masing-masing 18.0 peratus dan 17.4 peratus.
Kejadian buli juga banyak berlaku semasa murid pulang dari sekolah (23.9 peratus), koridor kelas (16.6 peratus), perjalanan ke sekolah (13.1 peratus), perhimpunan (10.70 peratus) dan tandas (11.7 peratus).
Dalam pada itu beliau berkata, dapatan kajiannya juga mendapati hanya 8.6 peratus sahaja murid tidak pernah menjadi mangsa buli dan sebanyak 14.5 peratus murid tidak pernah membuli.
Malah katanya, majoriti kejadian buli melibatkan murid lelaki Tahun 6 membuli rakan sekelasnya yang juga murid lelaki Tahun 6 manakala jumlah murid perempuan yang menjadi pembuli dan mangsa buli adalah terlalu sedikit.
``Murid-murid ini terlibat membuli secara fizikal seperti menendang, menolak dan memeras ugut manakala buli psikologi melibatkan perbuatan mengejek, menyindir atau memanggil rakan dengan panggilan tidak baik,'' katanya.
Sementara itu, kajiannya juga mendapati murid yang dibuli lazimnya akan bertindak semula menjadi seorang pembuli kerana ingin membalas dendam sama ada kepada pembuli atau murid lain.
Daripada jumlah tersebut 53.6 peratus murid yang dibuli secara fizikal akan membuli rakan yang lain secara fizikal manakala 49.4 peratus yang dibuli secara psikologi akan melakukan perkara yang sama kepada rakannya.
Kajian Noran itu yang dijalankan pada tahun lalu meliputi 2,528 murid di 29 sekolah di Perak iaitu di Ipoh, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Teluk Intan dan beberapa sekolah di hulu Perak.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 818 murid sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJKT dengan masing-masing sebanyak 750 dan 950 responden manakala pembahagian jantina pula ialah 51.2 peratus murid lelaki dan 48.8 peratus murid perempuan.

Berita Buli 2

01 Mac, 2007 22:30 PM

Ibu Bapa Bertanggungjawab Kes Buli - Kata Pembaca
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Masyarakat secara dasarnya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan paling penting dalam memastikan kejadian buli tidak berlaku di kalangan pelajar sekolah.Ini didedahkan melalui bancian pendapat yang dijalankan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di mana 31 peratus daripada 1,397 responden mengatakan ibu bapa harus sentiasa memantau dan mengetahui aktiviti anak-anaknya untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat apabila meninggalkan rumah.Bancian itu, yang dijalankan melalui laman web rasmi Bernama (www.bernama.com) mulai 29 Jan hingga 1 Mac, juga mencatat sebanyak 22 peratus pembaca meletakkan pihak sekolah sebagai bertanggungjawab mengawasi disiplin pelajar untuk mengelak kejadian buli daripada berlaku.Selain itu, 17 peratus responden mengatakan bahawa pelajar sendiri patut disedarkan akan akibat membuli manakala 15 peratus lagi berpendapat pelajar juga perlu mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk mengelak dari dibuli.Sejumlah 15 peratus undian memilih kerajaan sebagai pihak yang paling bertanggungjawab dalam memastikan kes itu tidak berlaku dengan meningkatkan usaha pencegahan.Bancian pendapat yang dijalankan dalam laman web agensi berita tersebut merupakan ruangan tetap dan sentiasa mendapat sambutan daripada pembaca.Laman web ini juga mengumpulkan bancian sejak beberapa tahun yang lepas untuk dijadikan bahan rujukan dan kajian.Arkib bancian berkenaan boleh dilawati di laman web www.bernama.com/bernama/poll/index.php.

Gambar Filem


Berita Buli 1

Monday, June 06, 2005

Sekolah-sekolah bergelut dengan buli dan gangster
Menteri mahukan jawapan kepada trend kelakuan ganas pelajarMalaysia TodaySetelah rakyat Malaysia menyatakan rasa terkejut mereka terhadap satu lagi kes buli – kali ini seorang pelajar 13 tahun lumpuh – kerajaan sedang bergelut, cuba mencari jawapan kepada keganasan dan gangsterisme di sekolah-sekolah.Mohd Afiq Qusyairi Baharuddin, 13, sedang bertarung untuk pulih dari kecederaan kepada saraf tulang belakangnya akibat daripada pukulan oleh tiga pelajar lain di sebuah sekolah agama di Pahang.Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengambil kes tersebut secara peribadi. Tetapi dia masih tidak punya jawapan tentang mengapa perbuatan membuli yang ganas kian menjadi begitu biasa dalam beberapa tahun ini, malah, sekolah-sekolah agama yang berasrama juga tidak terkecuali.“Saya kesal dengan insiden yang berulang kembali di sebuah sekolah yang menekankan agama. Ia telah mencemarkan imej sekolah-sekolah agama dan Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.Dia menambah bahawa insiden tersebut telah menunjukkan bahawa pelajar sekolah agama kurang disiplin berbanding sekolah jenis lain.Dalam bulan Mac tahun lalu, Mohamed Farid Ibrahim 16 tahun telah mati kerana dipukul oleh pelajar-pelajar di sebuah sekolah agama di Seremban. Insiden tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai mengenai keganasan di sekolah-sekolah.Terdapat lebih 35 kes-kes jenayah dan keganasan yang menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pelajar sepanjang lima tahun lalu.Kebanyakan insiden terjadi sama ada di sekolah berasrama atau sekolah agama.“Membuli dan ‘ragging’ berlaku di mana-mana, terutama di sekolah-sekolah berasrama.“Cabarannya ialah menjaganya supaya ia tidak sehingga di luar kawalan dan mencegah keganasan, tetapi itu bukan mudah,” beritahu seorang pegawai kementerian pelajaran.Semua sekolah berasrama di Malaysia adalah untuk pelajar Melayu, yang menyebabkan bilangan yang tinggi insiden membuli yang ganas dalam komuniti Melayu.Di sekolah agama di mana Mohd Farid terbunuh dan Afiq dipukul, pelajar-pelajar dikehendaki mengambil subjek-subjek agama dan juga subjek-subjek yang ditetapkan oleh sukatan sekolah kebangsaan.Mohd Afiq, kini dalam keadaan stabil, berkata semalam bahawa dia percaya dia dipukul kerana enggan meminjamkan Walkman rechargernya.Dua daripada pelajar yang disyaki memukul Afiq, kedua-duanya 17 tahun, telah ditahan. Polis sedang mencari pelajar yang ketiga.Datuk Seri Hishammuddin berkata Jawatankuasa Bertindak Psikiatrik dan Kesihatan, Kementerian Pelajaran telah diminta mengadakan kursus-kursus bagi buli-buli dan ibu bapa mereka.Menteri tersebut juga memberitahu bahawa satu pasukan akan mengkaji undang-undang mengenai mengenakan tindakan undang-undang ke atas ibu bapa yang anak-anak mereka terlibat dalam perbuatan jelek tersebut.

Maksud Buli

Dari Wikipedia bahasa Melayu
Jump to: navigation, search
Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh mendatangkan ketidak selesaan kepada orang lain.
Jadual isi kandungan[sorok]
1 Siapakah yang sering membuli dan dibuli
1.1 Pembuli
1.2 Dibuli
2 Kenapakah mereka sering membuli?
3 Adakah perempuan terlibat dalam perbuatan buli?
4 Jenis-jenis buli
4.1 Buli fizikal
4.2 Buli mental
5.0 Kesan buli
5.1 Pembuli
5.1.1 Kesan luaran:
5.2 Dibuli
5.2.1 Kesan luaran
5.2.2 Kesan dalaman
6 Apa yang patut dilakukan sekiranya dibuli?
6.1 Tahap sekolah
6.2 Tahap kelas
6.3 Tahap individu
//

[Sunting] Siapakah yang sering membuli dan dibuli

[Sunting] Pembuli
Terdiri daripada pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat, lima, dan enam.
Bertubuh besar, tegap, dan tinggi.
Melibatkan sekumpulan pelajar dan biasanya usia mereka adalah sebaya.
Membuli satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan di sekolah.
Kejayaan membuli pelajar junior akan menunjukkan mereka kuat, berkuasa, dan tidak mudah digertak.

[Sunting] Dibuli
Di Malaysia, pelajar-pelajar yang sering menjadi mangsa ialah pelajar menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua, dan tiga serta pelajar sekolah rendah.
Bertubuh kecil.
Pelajar yang kerap dipuji oleh guru akan menjadi sasaran.
Pelajar baru di sekolah.

[Sunting] Kenapakah mereka sering membuli?
Sebenarnya terdapat banyak sebab kenapa mereka suka membuli. Antara sebabnya adalah:
Faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tingkah laku pelajar.
Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka.
Mereka pernah menjadi mangsa buli.
Gangguan personaliti seperti antisosial golongan yang tidak pernah berasa bersalah apabila membuat kesilapan.
Individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya terdapat pada kanak-kanak hyperactive atau cergas yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang lain.
Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.
Akibat perceraian ibu bapa.
Terlalu dimanja oleh ibu bapa.
Sekadar mahu berseronok.
Mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan salah satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan.
Marah dan benci pada mangsa atas sebab disayangi guru atau gemar bercakap dalam bahasa Inggeris.
Ingin menunjukkan kekuatan sendiri.

[Sunting] Adakah perempuan terlibat dalam perbuatan buli?
Ramai beranggapan perbuatan buli hanya melibatkan pelajar lelaki. Tapi, ia silap. Pelajar perempuan juga turut terlibat dalam perbuatan tersebut.
Biarpun peratusannya agak sedikit, namun perkara tersebut mampu mendorong kepada perbuatan yang serius jika tidak dibendung.
Buli di kalangan pelajar perempuan biasanya melibatkan ejekan dari segi fizikal. Contohnya, sekiranya pelajar perempuan tersebut berbadan gemuk dan kulitnya gelap, mereka akan menjadi sasaran untuk dijadikan bahan ejekan.
Namun, perbuatan buli di kalangan pelajar perempuan tidak terlalu ganas seperti pelajar lelaki.

[Sunting] Jenis-jenis buli

[Sunting] Buli fizikal
Melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit, atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan.
Paling ganas boleh menyebabkan kematian.

[Sunting] Buli mental
Lebih kepada ejek-mengejek. Misalnya, jika nama pelajar atau nama bapa pelajar agak luar biasa, maka itu akan dijadikan bahan ejekan pelajar senior yang membuli.
Sungguhpun, kes buli jenis ini kurang mendapat perhatian media massa, ia sebenarnya serius berlaku di sekolah.

[Sunting] Kesan buli

[Sunting] Pembuli

[Sunting] Kesan luaran:
Apabila dewasa kelak, kemungkinan besar akan menjadi penjenayah.
Bertindak agresif apabila dewasa seperti merogol, merompak, atau menjadi seorang pendera terhadap isteri.

[Sunting] Dibuli

[Sunting] Kesan luaran
Mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya untuk mengembalikan harga diri yang hilang akibat dibuli.

[Sunting] Kesan dalaman
Hilang keyakinan diri, membiarkan diri diperlakukan apa sahaja, sanggup melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain, tidak mahu ke sekolah, dan sebagainya. Sehinggakan ada yang sanggup mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri mereka tidak berguna.

[Sunting] Apa yang patut dilakukan sekiranya dibuli?
Ini berkemungkinan boleh mengakibatkan kejadian-kejadian yang lebih memudaratkan lagi seperti bunuh, rogol, dan sebagainya. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub, terdapat beberapa tahap untuk menangani masalah buli iaitu:

[Sunting] Tahap sekolah
Pihak sekolah perlulah mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada dalam bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta para pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli. Selain itu, pelajar juga boleh menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapatkan respons tertinggi tentang perkara ini, identiti pelajar perlulah dirahsiakan.
Pihak sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa. Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli, contohnya talian hotline buli 1-800-884774.
Tindakan disiplin, merotan, dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada pembuli.
Penggunaan kamera litar tertutup(CCTV) di sekolah-sekolah secara tidak langsung dapat mengekang kejadian gengster.
Perlu wujudkan satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah. Antara ahli yang terlibat terdiri daripada pengetua sekolah, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa, dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.
Perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) sekolah.

[Sunting] Tahap kelas
Di dalam kelas, perlu diwujudkan satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli. Peraturan tersebut msetilah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya.
Ia tidak susah, setiap pelajar hendaklah diberikan senarai peraturan berkenaan tingkah laku buli dan hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah.
Selain itu, guru-guru juga hendaklah membincangkan tentang isu buli dari semasa ke semasa.

[Sunting] Tahap individu
Tahap ini biasanya akan melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.
Selain itu, guru kaunseling juga bolehlah mengadakan sesi yang memainkan peranan terhadap tingkah laku empati(daya menyelami dan memahami perasaan dan emosi orang lain) atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan pemulihan pula perlu diadakan dengan mangsa.*
Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Buli"
Kategori: Sosial Manusia Psikologi