Thursday, March 8, 2007

Isu - Isu Semasa

Empat jawatankuasa tangani gejala disiplin sekolah
EMPAT jawatankuasa bertindak di bawah Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid (JIMGDM) terus menggiatkan usaha menangani disiplin pelajar - walau kadar kesalahan jenayah dan salah laku semakin menurun tahun ini.
Keempat-empat jawatankuasa bertindak tersebut telah menerima dan mengkaji lebih 250 cadangan awam dan seterusnya merencanakan program jangka pendek sederhana dan panjang.
Melalui empat jawatankuasa ini, sejumlah RM6.1 juta telah dipohon untuk melaksanakan program dan aktiviti berkaitan hal itu.
Hal ini termasuklah perancangan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan sejumlah 132 program kokurikulum serta pembangunan sahsiah murid peringkat kebangsaan pada sepanjang tahun.
Program tersebut melibatkan aktiviti kokurikulum, disiplin murid, pendidikan pencegahan dadah, kebajikan dan kesihatan, bahasa, kebudayaan dan kesenian, kelab dan persatuan, penggalakkan sains dan teknologi, lawatan dan pertukaran murid, pendidikan luar dan badan beruniform.
Menurut Memorandum Kabinet Menangani Gejala Disiplin Di Sekolah yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 26 April lalu, usaha mempergiatkan aktiviti Rakan Cop di sekolah juga dilaksanakan dengan kerjasama polis.
``Pihak polis bersetuju membantu dan pegawai aduan di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran telah dihantar meninjau operasi Rakan Cop ini,'' katanya.
Menurut memorandum itu, kerjasama antara polis dan kementerian juga diperhebatkan melalui mekanisme Pegawai Perhubungan Sekolah, Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah (KPJS).
Untuk memerangi gejala ponteng sekolah, kementerian dan polis bersetuju supaya masalah ponteng sekolah diangkat kepada jemaah menteri kerana aspek undang juga perlu dilihat, dan ada kaitan dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada peringkat yang lebih luas, JIMGDM bersetuju supaya diwujudkan majlis permuafakatan antara Kementerian Pelajaran dan pihak polis di semua peringkat kementerian, negeri, daerah dan sekolah.
Ketua Pengarah pelajaran dan Ketua Polis Negara akan mempengerusikan majlis ini di peringkat kementerian.
___________________________________
Empat jawatankuasa bertindak:
1. Jawatankuasa Bertindak menangani isu-Isu Sekolah (ada gambar Datuk Noh Omar).
Tindakan:
a. Melihat kepada aspek - kurikulum, kokurikulum, personel dan pengurusan sekolah.
b. Memantau secara dekat isu berkaitan disiplin murid di bawah program Flying Squad.
c. Mengendalikan perbincangan dengan pengetua, guru besar serta pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri.
.
2. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Masyarakat
(ada gambar Noh Omar)
a. Melibatkan tiga aspek yang berkaitan dengan ibu bapa dan PIBG, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi, wakil rakyat dan pengurusan sekolah.
b. Kempen melalui media cetak dan elektronik.
c. Program kemahiran keibubapaan.
d. Membincangkan sumbangan tenaga serta kepakaran daripada agensi kerajaan lain.
.
3. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Perundangan dan Penguatkuasaan (ada gambar Datuk Hon Choon Kim).
a. Pemantapan peruntukan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang dalam kawasan sekolah. Satu draf dinamakan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 telah digubal dan telah diangkat ke Pejabat Peguam Negara untuk tujuan pewartaan.
b. Pemantapan peruntukan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang diluar kawasan sekolah. Cadangan pindaan undang-undang kepada Peguam Negara terhadap undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berhubung dengan pengeluaran lesen dan pengenaan syarat-syarat ke atas kafe siber, Akta Polis 1967 Akta 334) dan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
4. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan psikologi dan Kesihatan (Ada gambar Komala Devi).
a. Melibatkan tiga aspek iaitu psikologi, kesihatan dan pengurusan sekolah.
b. Mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang telah memulakan kajian berkaitan disiplin dan ponteng sekolah.
c. Menggerakkan kempen anti buli di sekolah serta pelaksanaan program bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi pemantapan sahsiah diri murid termasuk psikologi dan kesihatan.

No comments: