Thursday, March 8, 2007

Berita Buli 3

Kena buli : Mangsa tidak tahu mengapa 17/02/2004 12:35 p.m.
Oleh Marzita Abdullah
NORAN FAUZIAH YAAKUB

KAJIAN buli di sekolah rendah oleh Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub mendapati ada mangsa buli sebenarnya tidak tahu mengapa mereka dibuli.
Seorang mangsa buli iaitu murid perempuan pernah ditolak murid lain sehingga jatuh bukit dan berubah perangai menjadi seorang yang penakut dan murung kerana sering dibuli dan tidak tahu mengapa dibuli.
Namun daripada pemerhatian yang dibuat semasa kajian tersebut Noran mendapati, mangsa berkenaan dilakukan sedemikian kerana keadaan fizikalnya yang gemuk dan kulitnya yang gelap.
``Disebabkan dia gemuk dan sering berjalan lambatlah maka murid lain menolak dan mengejeknya,'' katanya.
Tegas Noran walaupun kejadian buli dianggap oleh pihak sekolah suatu perkara biasa atau sekadar `gurauan' di kalangan murid namun perkara tersebut sebenarnya mampu mendorong kepada perbuatan yang serius jika tidak dibendung.
``Ibu bapa dan guru seringkali tidak menjangka teruknya kesan buli dan memandang remeh perbuatan tersebut,'' katanya.
Katanya, kesan-kesan buli membawa kepada sikap negatif dari segi jangka panjang malah di luar negara kesan buli boleh menyebabkan kejadian bunuh diri.
Di luar negara seorang murid membunuh diri kerana diejek gemuk dan berambut kerinting malah ada yang membunuh rakannya kerana tidak tahan dibuli setelah guru dan pihak sekolah gagal mengambil tindakan intervensi.
Mangsa buli akan menjadi seorang dewasa terlalu emosional sehingga menjejaskan hubungannya dengan orang lain dan keluarga.
Malah kajian menunjukkan ada murid yang menjadi pembuli akan bertindak agresif apabila dewasa menjadi seorang pendera terhadap isteri, perogol dan perompak.
Terdapat dua kategori buli iaitu buli fizikal antara lain melibatkan perbuatan memukul, menendang, menarik rambut, menolak mencubit manakala buli psikologi melibatkan kata-kata (verbal) seperti mengejek, menggelar murid dengan nama yang tidak baik dan sebagainya.
Di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Norway, England, Australia dan Jepun kajian tentang buli di peringkat sekolah rendah mendapati ia banyak melibatkan buli verbal manakala tingkah laku buli di Itali banyak melibatkan buli fizikal dan peras ugut.
``Bagaimanapun di Jepun buli verbal banyak melibatkan kejadian bunuh diri dikenali sebagai `ijime' iaitu murid dibuli kerana tidak mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang sehingga menyebabkan mereka membunuh diri,'' katanya.
Di luar negara seperti Norway dan Australia kejadian buli berlaku semasa waktu rehat atau di padang permainan iaitu semasa ketiadaan guru.
``Tetapi di negara kita kejadian buli berlaku di dalam kelas semasa guru mengajar dan sebelum guru masuk mengajar,'' katanya.
Kejadian buli di kantin dan padang sekolah di negara ini hanya mencatatkan masing-masing 18.0 peratus dan 17.4 peratus.
Kejadian buli juga banyak berlaku semasa murid pulang dari sekolah (23.9 peratus), koridor kelas (16.6 peratus), perjalanan ke sekolah (13.1 peratus), perhimpunan (10.70 peratus) dan tandas (11.7 peratus).
Dalam pada itu beliau berkata, dapatan kajiannya juga mendapati hanya 8.6 peratus sahaja murid tidak pernah menjadi mangsa buli dan sebanyak 14.5 peratus murid tidak pernah membuli.
Malah katanya, majoriti kejadian buli melibatkan murid lelaki Tahun 6 membuli rakan sekelasnya yang juga murid lelaki Tahun 6 manakala jumlah murid perempuan yang menjadi pembuli dan mangsa buli adalah terlalu sedikit.
``Murid-murid ini terlibat membuli secara fizikal seperti menendang, menolak dan memeras ugut manakala buli psikologi melibatkan perbuatan mengejek, menyindir atau memanggil rakan dengan panggilan tidak baik,'' katanya.
Sementara itu, kajiannya juga mendapati murid yang dibuli lazimnya akan bertindak semula menjadi seorang pembuli kerana ingin membalas dendam sama ada kepada pembuli atau murid lain.
Daripada jumlah tersebut 53.6 peratus murid yang dibuli secara fizikal akan membuli rakan yang lain secara fizikal manakala 49.4 peratus yang dibuli secara psikologi akan melakukan perkara yang sama kepada rakannya.
Kajian Noran itu yang dijalankan pada tahun lalu meliputi 2,528 murid di 29 sekolah di Perak iaitu di Ipoh, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Teluk Intan dan beberapa sekolah di hulu Perak.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 818 murid sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJKT dengan masing-masing sebanyak 750 dan 950 responden manakala pembahagian jantina pula ialah 51.2 peratus murid lelaki dan 48.8 peratus murid perempuan.

1 comment:

Unknown said...

Dengan 1001 kajian yang di lakukan oleh berbagai pihak tidak akan berjaya mengurangkan gejala buli di Malaysia kerana Malaysia mempunyai sistem perundangan yg begitu rendah dalam dunia. Terlalu banyak kes yg mana hanya dijadikan kes tertutup maka sebab itu dengan mudah di maafkan sebab itu hilang rasa takut untuk melakukan perkara tersebut sekali lagi. Sampai bila kejadian ini menjadi perkara biasa di Malaysia seolah-olah sifat perikemanusian itu sudah tidak perlu lagi di jadikan perkara penting dalam kehidupan sekarang... Cuba baca apa kata polis hari ini Kosmo 7/11/2014 memberitahu bahawa kes buli tersebut ialah kes lama tahun 2011 dan video kes buli itu dimuat naik semula pada 5/11/2014 ...... bayangkan berapa tahun baru nak selesai ............agaknya akibat dari rasa tak puas hati maka adik yg rakam video itu menyiarkan semula video tersebut kpd orangramai ..........ini seolah2 memberi satu sindiran paling tajam pada PDRM bahawa nya kes buli di Malaysia ini bukan perkara remeh temeh tetapi sudah menjadi budaya hidup pelajar di Malaysia ..... ...........fikirkan lah kenapa